|
(Gambar atas: Tiga pemimpin Pakatan menunjukkan laporan akhbar Umno yang cuba memecahkan mereka dalam sidang medianya petang tadi di Pejabat Agung PAS) KUALA LUMPUR, 26 Sept: Dakwaan yang mengatakan sebahagian pemimpin terutama dari DAP akan keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya PAS dengan persetujuan PKR melaksanakan hukum hudud di Kelantan dan meneruskan agenda penubuhan negara Islam di negara ini, tidak berbangkit. Sebaliknya, perkara itu sengaja dicetuskan oleh Umno dan akhbar milik parti itu, Utusan Malaysia untuk mencetuskan perselisihan dalam Pakatan Rakyat bagi kepentingan politik mereka. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, para pemimpin Pakatan Rakyat cukup sedar perkara itu dan sehubungan itu mereka akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara itu pada 28 September ini. Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama dengan Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke di Pejabat Agung PAS hari ini. Menurut beliau, hukum hudud, qisas dan taqzir seharusnya difahami oleh semua pihak, tetapi banyak pihak yang tidak memahaminya dengan mendalam. |